Hari ni saya ingin berkongsi serba sedikit tentang kebudayaan dan keunikan masyarakat kenyah di Sarawak. Mungkin kawan-kawan jarang atau tidak pernah mendengar tentang kewujudan masyarakat kenyah di Sarawak kerana masyarakat Iban, Bidayuh dan Penan yang lebih menyerlah. Masyarakat kenyah tergolong dalam etnik Orang Ulu dan mempunyai beberapa pecahan suku. Sebagai contoh, saya dari suku kenyah Badeng manakala kawan baik saya daripada kenyah nyamuk. Bahasa pertuturan kami agak sama cuma ada sedikit perbezaan dari segi sebutan bahasa yang sukar difahami terutamanya perkataan yang jarang didengar. Masyarakat kenyah di Sarawak memang terkenal dengan penghasilan pelbagai kraf tangan yang unik. Disini saya lampirkan bersama beberapa hasil kraftangan masyarakat kenyah yang diwarisi sejak turun-temurun lagi. Namun begitu, saya hanya akan menceritakan tentang satu daripadanya iaitu penggedong bayi atau ba’ dalam bahasa kenyah. Ba’ diperbuat daripada ba’bulo’(buluh) atau ba’wai (rotan) dan dihias menggunakan manik serta taring binatang. Ada dua jenis ba’ iaitu ba’ biasa yang hanya diukir manakala ba’ yang dihias menggunakan manik dipanggil ba’ eno. Bagi masyarakat kenyah, ba’ memainkan peranan yang amat penting dalam kehidupan seharian. Sejak berzaman, kaum ibu menggunakan ba’ untuk membawa anak kecilnya semasa berkebun, bersawah padi, dan membuat kerja2 rumah. Ba ini digunakan untuk membawa bayi yang baru lahir sehingga berusia 3 tahun. Selain untuk membawa anak kecil, ba’ amat sinonim dengan Pesta Ngalang iaitu upacara pemberian nama baru atau nama kedua dalam masyarakat kenyah. Semasa upacara itu diadakan, setiap ibu bapa harus menggalas ba’. Ba juga digunakan sebagai barang hantaran atau tanda adat semasa upacara perkahwinan.


Lazimnya, ibu bapa membuat satu ba’ untuk setiap seorang anak mereka. Bagaimanapun tradisi ini berubah mengikut peredaran masa dan hari ini, anak-anak mereka boleh berkongsi satu ba’. Dulu ba’ dihias menggunakan ukiran, wang logam, manik dan taring binatang buas seperti gigi harimau atau dalam dialek tempatan ‘jipen lenjau’. Dipercayai elemen ini mengeluarkan bunyi sekali gus menakutkan kuasa jahat daripada menggangu bayi yang dibawa menggunakan ba’ tersebut .Keunikan ba’ terserlah dengan hiasan manik pelbagai warna dan motif seperti binatang, manusia dan bunga. Penggunaan motif harimau yang menyerupai anjing di samping manusia dan burung kenyalang menerangkan bahawa keluarga tersebut mempunyai kedudukan tertinggi dalam masyarat kenyah atau maren, sementara motif geometri melambangkan keluarga itu berasal daripada golongan biasa atau payin.


Masyarakat dulu amat menghormati pantang larang iaitu keluarga daripada keturunan payin tidak boleh mengunakan ba’ yang dibuat untuk keluarga maren . ba’ juga tidak boleh digunakan sembarangan atau untuk tujuan menunjuk-nunjuk . sekiranya larangan ini tidak dipatuhi, si pemakai serta ahli keluarga dan keturuannya akan ditimpa 90 jenis musibah atau sial. Proses membuat ba’ ini amat rumit kerana memerlukan kesabaran serta kemahiran menyusun manik. Ini kerana manik yang digunakan lazimnya amat kecil iaitu 2 milimeter dan mesti disusun rapat dan diikat ketat. Kebolehan menghasilkan corak atau motif , pemilihan warna sesuai serta saiz manik yang kecil akan menyerlah lagi serta keunikan ba’ tersebut. Bagi pembuat ba’, untuk membuat ba’ beberapa peralatan digunakan termasuklah rotan ,buluh, kayu pelapik, kain,manik ,gergaji , pisau dan benang . Proses membuat ba’ini bermula dengan menyiapkan rangka daripada anyaman buluh atau rotan. Rangka ini penting bayi tersebut bersandar di samping melindunginya daripada terjatuh atau bahaya . Walaupun rotan lebih tahan , masyarakat kenyah lebih gemar menggunakan buluh kerana ia lebih ringan daripada rotan. Antara buluh yang sering digunakan ialah buluh betung, buluh minyak dan buluh gading. Buluh yang cukup tua akan dipotong sepanjang 2 sentimeter setiap satu batang buluh.


Mengikut cara tradisional, akan direndam di dalam air tanah bercampur asam selama satu minggu. Buluh yang direndam tidak mudah dimakan oleh bubuk dan tidak mudah reput. Dari segi mutu, buluh yang direndam diaggap lebih cantik dan menarik walaupun berbau sedikit masam. Selepas direndam, buluh tadi diasap atau disalai terlebih dahulu sehingga kering dan bertukar menjadi warna putih dan kekuningan . Setelah kering , buluh tadi dibelah dan diraut menjadi bilah-bilah halus setebal bilah yang digunakan untuk membuat raga atau bakul. Buluh tadi dianyam mengijkut saiz yang diinginkan. Setelah siap anyaman tadi akan didirikan diatas sekeping kayu tempat bayi berkenaan duduk . Biasanya kerja mengayam akan dibuat oleh si isteri ,manakala si suami pula membuat bingkai dan tempat duduk kayu .


Setelah siap , barulah proses menyusun manik menggunakan benang ,motif atau gambar yang diinginkan dilukis terlebih dahulu di atas kertas. Motif yang paling digemari ialah ukiran aso’ atau anjing berbentuk naga dengan muncung yang panjang, siung melengkung dan sepasang tanduk yang berlingkar. Motif ini dipercayai dapat melindungi bayi yang dikendong kerana aso’ dikatakan amat ditakuti oleh makhluk halus . Lazimnya, warna kuning dan hitam menjadi warna asas dalam setiap perhiasan manik yang dihasilkan sejak dari dulu lagi. Manakala hiasan bingkai mesti menggunakan manik yang berwarna-warni. Menurut aweh, proses menyusun manik ini menggambil masa yang lama iaitu empat hingga enam minggu dan ada kalanya sehingga lapan minggu. Ianya bergantung kepada corak dan saiz ba’ yang dihasilkan. Kerja-kerja menyusun manik ini memerlukan kemahiran dan kesabaran kerana ia turut menentukan keindahan ba’ yang dihasilkan .Manik yang telah siap kemudian dilekatkan di bahagian luar rangka anyaman tadi. Tepinya dijahit halus menggunakan jahitan tangan manakala bingkai ba’ dihias menggunakan manik berwarna-warni. Selain itu kedua-dua belah tali penggendong turut dihias menggunakan manik. Untuk membawa kanak-kanak yang lebih besar, ba’ digalas di bahagian belakang sebaliknya bahagian depan untuk membawa bayi yang baru lahir.


Ba’ dijual dengan RM350 ke atas , bergantung kepada saiz manakala ba’ perhiasan berharga RM60 ke atas. Sejajar dengan peredaran masa , motif ba’ turut dipelbagaikan. Selain burung kenyalang dan aso’ , tedapat motif jalur gemilang , bendera Sarawak dan spesies binatang. Kini ba’ boleh digunakan oleh sesiapa sahaja sama ada maren atau golongan biasa selain menjadi kelengkapan harian , ba’ turut menjadi salah satu perhiasan rumah. Keunikan ba’ bukan sahaja menjadi kebanggaan masyarakat kenyah , malah ia sering dijadikan sebagai cenderamata untuk para pelancong dan pengunjung yang datang ke Sarawak.

0 comments:

Post a Comment